Salah laku Guru

Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial  (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya.Di samping itu mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru seharusnya pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu perlu menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).

Guru bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional. Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu, sehingga ke hari ini masih mendengar berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman. Etika Profesion Perguruan harus dikaji semula. (Najib, 1971).

Pengamalan EPP dalam kalangan guru adalah penting demi memartabatkan profesion perguruan supaya sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah termaktub dalam ikrar seperti berikut;

“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia, bertanggungjawab dan berkebolehan….

… dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab bimbingan anak muda untuk mencapai kemajuan  sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.”

Dari penyataan ikrar dan kod EPP di atas, guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berketerampilan.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.  Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak  terpisah daripada seseorang guru.  Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan.  Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Namun sejak akhir-akhir ini kita dihidangkan tentang berita mengenai guru mencederakan pelajarnya dengan alasan yang tidak munasabah seperti datang lewat ke sekolah, tidak membawa buku latihan, tidak menyiapkan kerja sekolah dan beberapa kesalahan kecil yang lain yang dilakukan oleh pelajar. Kita sedar bahawa guru bertindak sedemikian kerana ingin mendidik pelajar supaya pelajar tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama tetapi perbuatan guru yang mendenda pelajar dengan keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan yang serius merupakan satu tindakan yang melampau malah turut menimbulkan kemarahan ibu bapa. Kesannya, bukan sahaja imej guru tersebut yang tercalar malahan imej profesion keguruan turut menerima tempiasnya.

Cabaran dalam bidang pendidikan kini semakin besar dan mencabar. Tanggungjawab seorang guru semakin bertambah kerana guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi turut menjaga murid di sekolah.  Bebanan guru makin banyak turut menuntut kesabaran serta ketanggungjawaban yang amat hebat.  Kalau dulu guru sering diagung-agungkan dan disanjungi sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Namun, hari ini sering kita dengar sebahagian besar pelajar sekolah tidak menghormati guru mereka.  Guru-guru diperlekehkan oleh ibu bapa pelajar yang mempunyai taraf hidup yang agak baik.  Guru-guru disaman atas kesalahan yang tidak setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid semakin pudar bersama keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran dan menunding jari kepada guru di atas  kesalahan, kealpaan  dan ketidakprihatinan mereka  sendiri dalam mendidik anak-anak.  Guru sudah hilang kuasa dalam mendidik melalui rotan kerana ibu bapa pada masa kini yang terlalu memanjakan anak-anak.

Pada pandangan saya, sewajarnya ibu bapa  akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai-nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji.  Namun begitu, kebanyakan ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.  Corak pendidikan pada suatu ketika dahulu yang begitu tegas sehinggakan murid takut untuk meniru, tidak menyiapkan kerja sekolah apatah lagi datang lewat ke sekolah. Suatu ketika dahulu, sekiranya ada murid melakukan kesalahan murid-murid akan mendapat ganjaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Namun, sedarkah kita didikan guru pada masa lalu yang membentuk masa depan kita pada hari ini? Kerana rotan cikgu, saya berjaya. Tindakan tegas seorang guru hanyalah untuk mendidik anak didiknya supaya berjaya di masa hadapan. Ibu bapa pada ketika itu menyerahkan kuasa merotan kepada guru-guru untuk membentuk anak-anak mereka. Kalau kita menyoroti peristiwa lampau, tidak ada kes yang melibatkan guru menampar dan menyepak murid. Malah, tiada kes guru disaman pun pada ketika itu walhal murid yang nakal selalu dirotan di sekolah.

Pada pengamatan saya, ibu bapa pada hari inilah memainkan peranan penting dalam mencorak perubahan tingkah laku murid-murid di sekolah. Tindakan ibu bapa yang menyorok kesalahan anak menyebabkan murid tidak takut untuk melakukan kesalahan kerana ibu bapa boleh bertindak sebagai pembela.

Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka  bersalah dan tidak mengakui kesilapan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya perlu berbincang terlebih dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan pada media.  Mendidik anak perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.Hukuman yang dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.

Punca Berlaku Masalah Ini

Setiap perkara yang berlaku pasti ada punca atau penyebab berlakunya sesuatu perkara. Guru juga manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang berbeza. Guru bertindak diluar batasan juga berpunca dari sikap ibu bapa yang terlalu membela anak sehinggakan di sekolah juga pelajar berani melanggar peraturan dan arahan guru, tidak menghormati guru kerana sikap pembela ibu bapa yang tidak bertempat. Keadaan ini akan memberi tekanan kepada perubahan sikap seorang guru daripada seorang guru yang lemah lembut menjadi pembengis di sekolah.

Selain itu, tekanan kerja merupakan kedua yang menyebabkan guru melakukan kesalahan yang boleh mencalarkan imej guru. Tugas guru bukanlah satu tugas yang mudah untuk dipikul. Tuntutan kerja merupakan tuntutan yang berat lebih-lebih lagi menjadi guru pada zaman teknologi dan dunia tanpa sempadanini. Tugas guru bukan hanya mendidik, mengajar dan membimbing pelajar. Selain daripada itu, guru juga banyak menerima tekanan daripada ibu bapa, masyarakat, kerajaan, pertubuhan, pihak atasan dan juga masalah peribadi. Masyarakat melihat tugas guru adalah mudah, masa kerja yang pendek dan banyak cuti. Guru pula berasa beban kerja yang terlalu banyak sehingga membawa ke bilik tidur. Kerja lebih masa yang tidak dihargai. pandangan dan persepsi yang berbeza akan menyebabkan segelintir guru kecewa. Tekanan yang diterima ini akan menyebabkan guru cepat melenting dan melepaskan kemarahan terhadap pelajar.

Sesungguhnya profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru.  Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan.  Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal.  Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran.  Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan.  Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal.  Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya.  Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis.  Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat.  Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Selain itu, guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar.  Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara.  Kita perlu sedar,  kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan.  Ini kerana persediaan bagi pengeluaran  tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru.  Guru juga adalah model manusia   berkelakuan baik.  Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial dan kedaerahan.

Oleh : Hamizah Bt Abd Razak

 

RUJUKAN

Asnah Abd. Hamaid. 1996. Nilai dan Etika Profesional dalam Perkhidmatan Pendidikan. Pengurusan Pendidikan

05(02): 29-39.

Najib Tun Razak. 1971. Kod Etika Perguruan Kita Sudah Profesional. Utusan Malaysia, 07 Mei 1995.

Rashidi Azizan & Abdullah Mohd. Noor. 1994.  Pendidikan Guru: Cabaran, Falsafah dan Strategi dalam Pembentukan Guru yang Unggul. Kajang: Masa Enterprise.

Robiah Sidin. 1998. Pemikiran dalam Pendidikan. Shah Alam: Fajar Bakti.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s