Aplikasi Pendidikan Holistik

Pendidikan ialah proses pembangunan insan sepanjang hayat.  Pendidikan adalah salah satu bentuk perwujudan kebudayaan manusia yang dinamis dan sarat dengan perkembangan. Perubahan atau perkembangan pendidikan adalah perkara yang seharusnya dilakukan seiring dengan perubahan budaya kehidupan manusia yang sentiasa berubah-ubah. Perubahan pendidikan yang menuju kearah pendidikan yang jitu, padu dan sempurna pada semua peringkat perlu terus menerus dilakukan sebagai intipati kepentingan masa depan negara. Maka ia tidak boleh diserahkan kepada satu ajensi sahaja. Pendidikan tidak formal dalam masyarakat melalui berbagai saluran dan pendidikan formal disekolah semuanya mempunyai saham tertentu dalam pembangunan modal insan ( Kamal Hassan, 1988).

Pendidikan yang mampu mendukung pembangunan di masa hadapan adalah pendidikan yang mampu mengembangkan potensi individu seseorang pelajar dan bukannya menilai individu berasaskan keputusan gred semata-mata, sehinggalah individu tersebut  mampu menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah kehidupan yang bakal dihadapinya. Pendidikan harus menyentuh potensi rohani mahupun potensi kompetensi seseorang pelajar. Mengikut teori Dr. Howard Gardner, beliau menyatakan setiap individu mempunyai kecerdasan dan potensi yang berbeza-beza yang berkaitan dengan berbagai fungsi. Semua kecerdasan tersebut dipergunakan tetapi pada kadar-kadar yang berlainan dan mestilah berada dalam keadaan yang aktif untuk membolehkan proses penjanaan idea-idea baru. Maka teori kecerdasan Gardner ini telah merevolusikan pengajaran dan pembelajaran pada masa kini serta boleh dijadikan panduan untuk perubahan ke arah perkembangan pendidikan negara.

Justeru, konsep pendidikan haruslah mengalami perubahan seiring dengan perubahan budaya kehidupan manusia.  Apa yang berlaku pada masa kini adalah,masyarakat terlalu berkehendakkan pendidikan yang mampu mengikuti kehendak mereka dimana pendidikan tidak lagi dipandang sebagai suatu wadah yang mampu membina keutuhan masyarakat, kerana Semua ini berlaku akibat sentimen kebendaan yang semakin menular akibat daripada pengaruh sekularisma dan arus perubahan globalisasi ( Edupres Jurnal, 2011). Bertitik tolak dari inilah terasa semakin penting apabila seseorang pelajar yang akan membesar memasuki kehidupan bermasyarakat dan berkerjaya, kerana mereka harus mampu menerapkan apa yang dipelajari di sekolah untuk menghadapi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan sehari-hari mereka mahupun yang akan datang.

Pendidikan merupakan proses sistematik untuk meningkatkan martabat manusia secara holistik. Justeru itu, kerajaan haruslah mengambil satu langkah baru sebagai inisiatif untuk melakukan perubahan dalam bidang pendidikan. Ditambah pula dengan sejarah menunjukkan sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak 1979 lagi. Rombakan menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa kini dan hadapan. Untuk merealisasikan dasar pendidikan yang baru ini, satu langkah harus dibuat iaitu dengan menerapkan pendidikan secara holistik bersama-sama dengan pendidikan arus perdana yang tersedia ada bagi mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran seharian dan masa hadapan mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Tonia T. Lennox dalam tesis beliau yang bertajuk “ Education Towards Integration: An Alternative Programme, 2009 ” menyatakan, sistem pendidikan yang lama haruslah mengalami perubahan dalam menghadapi cabaran globalisasi pada masa kini. Beliau berpendapat pendidikan secara holistik amat membantu dimana pendidikan ini menekankan aspek matlamat seseorang individu, pembelajaran melalui pengalaman serta, nilai sensitiviti perhubungan sesama manusia dan alam sekitar. Manakala berbeza dengan Kaedah pendidikan tradisional, digambarkan sebagai yang dikawal oleh kalendar dan jadual waktu, di mana peluang kepada pelajar adalah terhad serta menggalakkan kaedah pembelajaran hafalan buku teks atau lembaran kerja berjilid dan berpusatkan guru.

Ini amat bertepatan dengan pendapat berdasarkan daripada satu rencana yang penulis baca dari Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac 2012, bertajuk “ Kearah sistem pendidikan Holistik “ yang dikarang oleh Rohami Shafie, Pensyarah Kanan di Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Beliau menyatakan  bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara. Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar. Beliau berpendapat perkara inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada. Beliau mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara. Dengan menerapkan sistem pendidikan yang lebih holistik dan menyeluruh kelemahan sistem pendidikan negara yang ada sekarang dapat dikurangkan dan diatasi secara tidak langsung. Ini kerana pendidikan holistik merupakan suatu konsep yang memastikan setiap individu merasai dan menikmati kehidupan mereka serta menghargai dan menilai semula pembelajaran, potensi dalaman seperti kecerdikan, kreativiti dan nilai-nilai kerohanian.

Pendidikan holistik adalah satu bidang pendidikan yang sangat mendalam untuk dikaji. Terdapat ramai tokoh-tokoh pendidikan yang membahaskan dan mencetuskan pendapat dalam konsep pembelajaran secara holistik ini. Antaranya ialah Ron Miller (2005), beliau berpendapat pendidikan holistik merupakan suatu falsafah pendidikan yang terwujud daripada pemikiran bahawa pada dasarnya seorang individu dapat menemukan identiti, makna dan tujuan hidup melalui hubungannya dengan masyarakat, lingkungan alam, dan nilai-nilai spiritual. Jelas beliau juga pendidikan holistik ini berkeupayaan menanam kecintaan terhadap pembelajaran. Secara historis, pendidikan holistik sebenarnya bukan perkara yang baru. Pendidikan holistik berkembang sekitar tahun 1960-1970 akibat daripada keprihatinan terhadap krisis ekologi,pencemaran nuklear, kimia dan radiasi, serta kehancuran keluarga dimana hilang dan hancurnya nilai-nilai tradisional serta institusinya.

Tujuan pendidikan holistik adalah membantu mengembangkan potensi individu dalam suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan dan menggairahkan, demoktarik dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan melalui pengalaman dalam berinteraksi dengan persekitarannya. Melalui pendidikan holistik juga, pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya sendiri dalam erti kata lain dapat memperolehi kebebasan psikologi, mengambil keputusan yang baik, belajar melalui cara yang sesuai dengan dirinya, memperoleh kecekapan sosial, serta dapat mengembangkan karakter dan emosionalnya (Basil Bernstein, 2000). Pendidikan holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran, cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Hasil pembacaan dan pengamatan penulis, boleh dirumuskan bahawa terdapat elemen-elemen yang terkandung dalam pendidikan holistik di mana pendidikan ini menitikberatkan kepada potensi setiap individu dari aspek kepandaian, emosi, sosial, fizikal, kesenian, kreatif dan keupayaan rohani. Jelas menunjukkan bahawa, pendidikan holistik ini masih sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Malaysia yang mana pendidik perlu berusaha memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

Hujahan ini dapat disokong lagi dengan laporan yang penulis baca daripada laporan berita pendidikan Berita Harian, bertajuk “ Pendidikan Holistik “ yang diberitakan oleh wartawan Noor Azlina Zainudin.  Rangkuman maklumat berita tersebut beliau perolehi di Perbincangan Meja Bulat Mengenai Pendidikan Holistik anjuran Institusi Pendidikan Kanak-kanak dan Remaja, WynKids di Kota Damansara. Panel-panel yang terlibat di dalam perbincangan ini rata-rata berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sekarang adalah berasaskan peperiksaan dan perlu diperbaiki. Situasi yang berlaku mengakibatkan pelajar diarah mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan bertanya apabila tidak faham. Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar, mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan.

Justeru, menurut mereka, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Pelaksanaan pendidikan secara holistik perlu membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan sebagai usaha memastikan generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap pelajar.

Selaras dengan dasar pendidikan yang baru diumumkan kerajaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional. satu langkah yang boleh dibuat ialah dengan menerapkan pendidikan secara holistik bersama-sama dengan pendidikan arus perdana yang tersedia ada. Penulis amat bersetuju dengan langkah awal yang dilaksanakan oleh kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. Ini kerana Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Selaian daripada itu, Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar. Justeru, kurikulum yang dirancang juga harus diarahkan untuk mencapai tujuan pembentukan manusia secara holistik. Pendidikan holistik dapat diaplikasikan dalam proses pembelajaran dengan beberapa cara, diantaranya dengan menerapkan Integrated Learning atau pembelajaran terintergrasi atau terpadu iaitu suatu pembelajaran yang menggabungkan berbagai elemen yang berkaitan holistik dalam satu bidang pembelajaran. Tujuan pembelajaran ini adalah agar pelajar memahami kaitan di antara satu elemen dengan elemen lainnya, iaitu antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain yang boleh diaplikasikan dengan pengalaman hidup mereka.

Dalam pendidikan holistik, guru juga harus memainkan peranan utama mereka dengan mengubah sifat yang hanya memimpin dan mengawal, tetapi harus menunjukkan sikap sebagai kawan, mentor, fasilitator, atau seorang teman yang berpengalaman kepada pelajar mereka (Forbes, 1996). Kesinambungannya, guru juga harus mengajar mengikut metodologi pembelajaran yang berbeza dan berpusatkan murid. Kerana cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Dengan itu, metodologi pengajaran juga perlulah bersesuaian dengan keupayaan setiap individu bagi membantu mereka memperolehi pengalaman, kebijaksanaan dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. Tambahan pula, sektor pekerjaan juga memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Walaubagaimanapun, Sekolah ataupun institusi pendidikan juga hendaklah menjadi tempat pelajar dan guru bekerja secara kondusif agar mencapai tujuan yang saling menguntungkan. Di mana, dapat mewujudkan suasana komunikasi yang terbuka dan jujur, serta menghargai perbezaan individu yang wujud dan mengutamakan sifat kerjasama berbanding sifat untuk bersaing.

Pendidikan holistik juga menganjurkan beberapa strategi yang boleh dijadikan panduan untuk menangani persoalan bagaimana untuk mengajar seseorang dan bagaimana seseorang itu belajar. Idea holistik itu sendiri menyokong kepada pendidikan yang dilaksanakan secara transformasi bukannya melihat pendidikan sebagai satu proses penghantaran ilmu  dan penerimaan ilmu semata-mata. Pembelajaran transformasi melibatkan perubahan yang dapat dijana oleh pemikiran pelajar itu sendiri. Perubahan ini dipengaruhi oleh pandangan mata , tabiat minda, dan persepsi mereka terhadap dunia. Dengan erti kata mudah, pelajar dapat menjana ilmu, nilai-nilai murni dan pengalaman pembelajaran yang mereka terima dan mengaplikasikan dengan kehidupan harian mereka.  Dengan itu dapat disenaraikan beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan dalam mengembangkan strategi pembelajaran holistik, antaranya ialah menggunakan pendekatan pembelajaran transformatif, prosedur kurikulum pembelajaran yang fleksibel, penyelesaian masalah melalui lintas disiplin ilmu, pembelajaran yang bermakna dan, pembelajaran yang melibatkan persekitaran individu itu berada.

Secara keseluruhannya, perubahan haruslah dilakukan untuk mencapai satu sistem pendidikan yang dapat melahirkan insan yang tabah menghadapi cabaran, bertamadun, serta mampu mendukung pembangunan di masa hadapan, berakhlak mulia, mempunyai sifat kerohanian yang tinggi dan nilai-nilai moral masyarakat. Justeru itu, untuk melestarikan sistem pendidikan yang sedia ada, tindakan harus diambil dengan mewujudkan pembelajaran yang mampu mengembangkan potensi indidivu berbanding akademik semata-mata. Pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh dan holistik yang diterapkan di dalam sistem pendidikan negara secara tidak langsung dapat membantu mengatasi kebejatan sosial masyarakat Malaysia. Selain itu, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara.

Oleh : Khuzaimah Bt Mohd Ali

 

RUJUKAN INTERNET : KLIK TULISAN BERWARNA BIRU

RUJUKAN BUKU :

Mohd Kamal Hassan.1988. Pendidikan Dan Pembangunan Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur: Penerbitan Nurin Enterprise

Ainon Mohd.Abdullah Hassan.2003. Guru Sebagai Pendorong Dalam Bilik Darjah. Bentong, Pahang: Penerbitan Pts Publication, Siri Motivasi

.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s